Malam itu, aku jatuh terus ke jurang dalam. Tiada tali untuk aku panjat naik, terus terkurung sendiri. Semuanya bermula apabila dia beritahu yang dia ingin mengaku kalah dalam mendapatkan cinta aku.
Aku dan dia, dah beberapa tahun berkenalan. Ada masanya, kami akan keluar bersama. Bukan aku tak tahu akan perasaan dia pada aku. Berkali-kali dia berkias padaku, setiap kali itu juga, aku buat-buat tak faham akan kiasan itu. Aku akui, aku juga punya rasa yang sama dengannya tapi aku terus menerus tipu dia, tipu diri sendiri. Hakikatnya, aku takut. Aku takut untuk mengakui yang aku jatuh cinta dengan dia.
Insecure and negative thoughts. Ya, itu semua membuatkan aku terus-menerus menolak cinta. Aku rasa aku ni bodoh. Aku menolak tuah. Susah nak dapatkan lelaki yang benar-benar ikhlas dengan aku. Aku nampak semua tu ada pada dia. Tapi aku tetap menolak. Semua kerana takut. Aku takut aku akan kecewa kemudian hari, aku takut untuk bahagia, aku takut aku bakal kecundang dalam percintaan. Jadi ada baiknya aku kekal bersendiri. Itu pemikiran aku. Dan aku sedar, aku turut menyeksa hati dan jiwa aku. Aku juga sedar, sikap aku ini, melukakan dia.
Apabila dia berkias sekali lagi, menyatakan dia ingin mengalah dan berlalu pergi, seperti biasa, aku berlagak acuh tak acuh dan buat-buat tak faham. Sedangkan tika itu, aku merasakan hati aku pecah berderai. Aku berpura-pura seperti biasa. Ego aku menghalang aku daripada berterus terang. Ingin sahaja aku menahannya agar jangan pergi, namun lidah aku kelu, seluruh tubuhku kaku. Aku terpaksa menahan air mata daripada jatuh berlinangan. Senyum pahit.
Akhirnya aku bersendiri. Aku menangis semahunya. Kerapnya aku salahkan diri sendiri. Nasi sudah menjadi bubur. Ego aku akhirnya memakan diriku sendiri. Padan muka aku. Takut akan dikecewakan, hakikatnya aku memang dah kecewa teruk. Semuanya kerana ketakutan-ketakutan aku.
Sesungguhnya, malam itu malam yang paling panjang dalam hidupku. Sehingga kini, aku masih takut. Takut akan cinta, takut untuk bahagia, dan takut dikecewakan. Tidak semua yang indah kekal lama.
Entah sampai bila aku akan terus begini?
Qiey
(04092017)
No comments:
Post a Comment